TELUPID: Seramai 720 peserta daripada 24 daerah seluruh Sabah bakal bersaing di Kejohanan Merentas Desa peringkat Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS), di sini, pada 23 September ini.
Pegawai Pendidikan Daerah Telupid/Tongod, Albert Andau Paulus Andau berkata, kejohanan yang akan bermula di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid itu akan bermula jam 7 pagi dan dijangka berakhir pada jam 12 tengah hari.
Katanya, beberapa laluan di sekitar daerah ini akan digunakan oleh para peserta untuk kejohanan itu termasuk pada hari sebelumnya iaitu 22 September bagi penyesuaian laluan oleh peserta.
“Laluan yang digunakan ialah dari SMK Telupid ke Jambatan Kampung Maliau, Gereja St Martin ke Kampung Gading, seterusnya ke Pejabat APM Telupid, Bulatan Padang Majlis Daerah Telupid, Jalan Jabatan Perhutanan dan Jalan Institut Perhutanan Sabah.
“Laluan berkenaan juga akan digunakan pada 22 September iaitu pada Jumaat iaitu sehari sebelum kejohanan sebenar bagi penyesuaian laluan oleh peserta bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Sehubungan itu, pihak kami memohon orang awam yang menggunakan kenderaan supaya berhati-hati dan mengikut arahan polis ketika melalui jalan berkenaan pada masa yang dinyatakan tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Albert berkata, selain 720 orang peserta, kejohanan itu juga akan membabitkan seramai 264 pegawai dan jurulatih.
Katanya, kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu akan dikelola oleh Pejabat Pendidikan Daerah Telupid/Tongod dan SMK Telupid sebagai sekolah pengelola.
“Kejohanan itu nanti juga akan dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone J Kurum,” katanya lagi. – Info X