BEAUFORT: Seorang lelaki yang tidak dapat mengawal diri disyaki menghidu gam mengamuk dan menyerang kenderaan polis menggunakan parang di Kampung Kiambor, Kuala Penyu, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, lelaki warga tempatan berusia 40 tahun tidak memberi kerjasama sambil di kiri dan kanan tangannya memegang sebilah parang dan pisau pemotong daging.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Ismail Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati, pada 12.16 pagi, anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Kuala Penyu serta Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerima maklumat mengenai lelaki sedang mengamuk di kampung berkenaan.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis IPD Beaufort bersama anggota daripada pelbagai cawangan digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba suspek terbabit keluar dari kawasan semak dan bertindak menyerang kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan sebilah parang dan terus melarikan diri.
“Bagaimanapun suspek berjaya diberkas dan ketika ditahan suspek masih agresif sambil memegang parang dan pisau pemotong daging,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, dua kenderaan pasukan milik PDRM dirosakan oleh suspek dengan menggunakan sebilah parang.
Katanya, siasatan awal mendapati, punca suspek terbabit mengamuk adalah kerana disyaki khayal dan seorang penagih gam.
“Suspek diraman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 September untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 dan Seksyen 427 kanun yang sama,” katanya. – Info X