Search

KKM akan siasat dakwaan ‘bayi dirampas’ di Sabah

September 19, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat dakwaan mengatakan terdapat bayi dirampas berikutan kerana status ibunya yang tiada kerakyatan, di sebuah hospital kerajaan di Sabah, baru-baru ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di mana-mana kemudahan perubatan di negara ini, sama ada awam atau swasta.

Katanya, KKM juga akan menyusul laporan polis yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk menafikan dakwaan itu.

“Saya setuju, perkara seperti ini tak sepatutnya berlaku di hospital kerajaan, bagi saya ‘no wrong door policy’ ini perlu kita perlu laksanakan baik-baik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Zaliha berkata demikian bagi menjawab soalan Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang meminta penjelasan kerajaan berhubung isu tersebut.

Pada 16 September lalu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan kononnya berlaku kes ‘merampas bayi’ di hospital di negeri itu seperti dilaporkan sebuah portal.

Pengarah Kesihatan Sabah Dr Asits Sanna berkata pihaknya telah menjalankan siasatan segera susulan laporan terbabit.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata pihaknya akan meneliti laporan polis yang dibuat, termasuk bersemuka dengan petugas di hospital tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut dan melakukan penambahbaikan.

“Perlu ada empati apabila kita melaksanakan tugas-tugas kita yang berkaitan penyampaian kesihatan,” katanya. – Info X