SEMPORNA: Seorang tekong bot bertindak nekad terjun ke laut bagi mengelak dicekup pihak berkuasa ketika melakukan aktiviti pengeboman ikan di barat Pulau Omadal, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, tekong bot dilihat terjun dan berenang ke kawasan cetek apabila dihampiri oleh bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, bot peronda APMM yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur, menerima maklumat risikan dan menuju ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota bot peronda APMM berjaya mengesan sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di barat Pulau Omadal.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot telah bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan cetek di sekitar pulau berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam bot mendapati beberapa anak ikan serta botol kaca mengandungi baja yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan.
Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,000 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 26 iaitu menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

Sementara itu, Amir berkata, komuniti maritim diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana ia salah disisi undang-undang laut negara, memberi kesan negatif kepada ekosistem laut dan boleh membawa maut.
“Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan jenayah.
“Orang ramai terutamanya komuniti maritim diminta agar menyalurkan maklumat dan aduan kepada Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” ujarnya. – Info X