TAWAU: Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan jirannya pada 2 Mei lalu.
Tertuduh Milhan Fred, 41, mengaku salah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat.
Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 2 Mei lalu di sebuah perkampungan atas air kira-kira jam 2 pagi.
Tertuduh didapati menggunakan kekerasan terhadap mangsa yang juga pengadu kes berusia 43 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.
Menurut fakta kes, tertuduh masuk ke dalam bilik tidur pengadu yang ketika itu sedang tidur lalu mencium mulut dan merabanya.
Pengadu yang menyedari perbuatan tertuduh telah menjerit meminta tolong menyebabkan tertuduh melarikan diri sebelum diberkas polis susulan laporan pengadu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman enam bulan penjara dan dua rotan bagi kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nur Intan Jamrin. – Info X