KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan termasuk mengambil tindakan penguatkuasaa undang-undang demi kepentingan kesihatan awam.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, hasil tindakan sepanjang Ogos lalu berjaya mencatatkan 3,188 kompaun bernilai RM1,594,000.
“Purata sebanyak RM500 bagi setiap kompaun itu dihasilkan melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembewa Penyakit (APSPP) 1975.
“KKM juga mencatat 536 kes yang didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama, sebanyak 93 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM353,280,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pula berjaya mengeluarkan 9,230 notis kesalahan daripada 22,204 premis yang dilawati.
Katanya, sebanyak 4,884 kompaun turut dikeluarkan dengan nilai tawaran sebanyak RM1,203,000.
“Melalui Tindakan Penguatkuasaan Akta Makan 1983, sebanyak 7,030 premis makanan diperiksa dan 222 premis diberi perintah penutupan sementara mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bersamaan 3.16 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa.
“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM ini adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makaan yang dihidangkan,” katanya.
Muhammad Radzi berkata, tindakan penguatkuasaan adalah pilihan terakhir yang diiambil oleh KKM.
“Orang ramai dan semua pihak diminta menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing supaya keberkesanan Perlaksanaan Aktiviti Kesihatan mencapai tahap optimum,” katanya. – Info X