KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berhubung pemerolehan peralatan pertukangan bernilai RM17,500 untuk sebuah pusat latihan, di sini, pada 2017.
Tertuduh, Md Jaidi Jaafar Jabau, 52, membuat pengakuan itu ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di hadapan Hakim Jason Juga, di sini, hari ini.
Md Jaidi, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Kanan (E32), di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Wilayah Sabah didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu berkaitan pembekalan gerudi tanpa wayar bernilai RM17,500 untuk Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) Sabah di Unit Kewangan MTIB Sabah pada 14 Ogos 2017.

Tertuduh didakwa memberikan kepada seorang ejen suatu dokumen dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya iaitu Ketua MTIB Sabah yang mempunyai kepentingan berhubung perkara itu.
Atas sebab itu, tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen terbabit mengandungi butiran palsu berkaitan pembekalan 49 unit alat ‘cordless drill’ untuk mengelirukan ketuanya supaya membayar RM17,500.
Berikutan itu, tertuduh diperintah membayar ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan RM2,000 deposit bersama seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. – Info X