Search

Mayat lelaki dibaham buaya ketika menangkap ketam ditemui

September 20, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Mayat lelaki yang dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ketam di kawasan laut Kampung Tinagian, Tanjung Labian, di sini, ditemui pagi tadi.

Mayat lelaki warga asing berusia 23 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi pantai berhampiran Pos ATM, Kampung Tanjung Batu, jam 7.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa adalah pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit dibaham buaya ketika menangkap ketam bersama tiga rakannya di kawasan laut berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada awal pagi ketika mangsa bersama tiga rakannya sedang menangkap ketam di kawasan laut berkenaan.

“Ketiga-tiga rakannya melihat mangsa dibaham buaya dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas sebelum mangsa hilang dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keadaan mayat mangsa ditemui tertiarap di tepi pantai berhampiran Pos ATM, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu.

Dr Rohan Shah berkata, seterusnya pada 7.20 pagi hari yang sama, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi pantai berhampiran Pos ATM Kampung Tanjung Batu.

Katanya, ketika mayat mangsa ditemui terdapat kesan gigitan iaitu di bahagian lengan kiri dan kepala.

“Selain itu, terdapat kesan calar di bahagian dada dan belakang leher serta punggung mangsa.

“Polis dari Balai Polis Kencana tiba di lokasi sebelum membawa mayat mangsa ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Dr Rohan Shah berkata, orang ramai di daerah ini terutama yang menjalankan aktiviti di laut atau sungai supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di persisiran pantai terhadap reptilia ini yang mengancam nyawa manusia.

Mayat mangsa ditemui tertiarap di tepi pantai dengan kesan gigitan reptilia berkenaan.

“Ini adalah kes yang pertama bagi tahun ini dan satu siasatan laporan mati mengejut dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bersangkut dengan kejadian ini,” katanya. – Info X