Search

Suami maut, isteri dan anak cedera kemalangan di Papar

September 20, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Seorang pemandu maut manakala isteri dan dua anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori rigid dalam kejadian di Jalan Kampung Biau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang maut adalah seorang lelaki berusia 63 tahun manakala isterinya, 58, dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Dua lagi anak pasangan terbabit yang berusia 20 serta 30 tahun dilaporkan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan awal mendapati, semua keempat-empat mangsa yang menaiki pacuan empat roda jenis Isuzu Invader bergerak dari arah Papar.

Keadaan pacuan empat roda dinaiki mangsa bersama tiga keluarganya yang terbabas ke bahu jalan di Jalan Kampung Biau, Papar. – Foto/IPD Papar

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori yang bergerak dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke lorong mangsa.

“Kedua-dua kenderaan berkenaan dilaporkan bertembung sesama sendiri sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Siasatan mendapati, lori yang dipandu seorang lelaki bersama kelindannya itu dipercayai hilang kawalan ketika menuruni jalan bukit di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Kamaruddin berkata, dua mangsa parah iaitu pemandu dan penumpang pacuan empat roda dikejarkan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pemandu terbabit bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Papar.

Lori yang bergerak dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke lorong kenderaan dipandu mangsa. – Foto/IPD Papar

“Penumpang wanita mengalami kecederaan parah dan kini masih mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X