Search

Polis, SESB potong bekalan elektrik 7 premis judi

September 20, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memotong bekalan elektrik di tujuh premis yang dikenalpasti menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen, hari ini.

Operasi ‘Op Dadu’ yang dijalankan di sekitar daerah ini turut dibantu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang bertindak memotong bekalan elektrik di semua premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, tindakan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, IPD Penampang.

Katanya, serbuan dilakukan terhadap tujuh premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

Sammy bersama pegawai menjalankan pemeriksaan di premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen di Penampang.

“Pihak polis turut yang dibantu kakitangan SESB kemudian bertindak membuat pemotongan bekalan elektrik di tujuh premis berkenaan.

“Kehadiran pihak SESB dalam operasi kali ini dapat memastikan proses pemotongan elektrik dibuat dengan betul dan selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sammy berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik di premis berkenaan dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Judi Terbuka 1953.

Sehubungan itu, Sammy menegaskan tindakan itu merupakan amaran serius polis dalam usaha membenteras sebarang aktiviti perjudian haram di Daerah Penampang.

Polis bersama SESB melakukan pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen di Penampang.

“Segera laporkan kepada pihak polis sekiranya orang awam mendapat informasi mengenai sebarang kejadian jenayah dalam daerah ini,” katanya. – Info X