Search

Piala AFC : Sabah FC langkah kanan

September 21, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC memulakan saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan kelab Singapura, Hougang United FC 3-1 dalam aksi kumpulan H, di Stadium Likas, malam ini.

Penyerang Sabah FC, Darren Lok memastikan Sang Badak mencipta kemenangan selesa di hadapan penyokong sendiri apabila menyumbat dua gol pada perlawanan itu.

Darren menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-38 selepas berjaya menyempurnakan hantaran sepakan sudut Saddil Ramdani sebelum sekali lagi mencipta jaringan menerusi tandukan pada minit ke-62.

Menariknya, gol kedua Darren berlaku seminit selepas pemain Hougang United, Takayama Kazuma mencipta gol tunggal pasukannya.

Gol berkenaan menimbulkan sedikit kekeliruan berikutan penjaga gol Sabah FC Daimen Lim dilihat berjaya menepis keluar bola, namun semakan rakaman VAR mendapati, bola sepakan Kazuma itu sudah melepasi garisan gol.

Satu lagi gol Sabah dijaringkan menerusi tandukan Gabriel Peres pada minit kelima selepas menerima hantaran daripada Daniel Ting sekali gus membolehkan Sabah mendahului perlawanan sejak awal permainan.

Secara keseluruhan, Sabah menguasai permainan sepanjang kedua-dua babak perlawanan dengan serangan berbahaya, namun situasi padang yang licin berikutan hujan agak lebat menggagalkan banyak cubaan mereka.

Sebaliknya, Hougang yang kelihatan tertekan bermain dalam keadaan padang yang becak dan sedikit berlopak, lebih banyak bertahan di kawasan sendiri dan hanya sekali sekala dapat melancarkan serangan balas, namun gagal menepati sasaran.

Kedudukan 3-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat. – Info X