KUDAT: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus giat menjalankan operasi bersepadu di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dalam usaha membanteras eleman jenayah rentas sempadan.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, ia membabitkan penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
“Selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, saya telah mengarahkan Bahagian Siasatan Khas dan Teknikal (SKT) ESSCOM supaya mempergiatkan koordinasi operasi bersepadu dan kali ini dilaksanakan di Kudat.
“Langkah ini demi memastikan jaminan pemeliharaan keselamatan awam kekal utuh dan kesejahteraan penduduk setempat terus diperingkatkan di ESSZONE,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai operasi bersepadu di Kudat yang bermula 20 September hingga semalam, beliau berkata, sejumlah 1,030 pemeriksaan fizikal terhadap individu, dan sebanyak 86 kenderaan darat serta 85 rumah dan premis telah dilaksanakan.
“Daripada jumlah itu, seramai lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina didapati menetap di negara ini tanpa dokumen yang sah.
“Semua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kudat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Victor berkata, selain menggempur PATI, Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah (JANS) Kudat turut melaksanakan pemotongan penyambungan paip air secara haram tanpa meter di sebuah premis di Sikuati.
“Manakala, sebanyak enam keping saman trafik dikeluarkan oleh Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan lalu lintas mengikut Akta
Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Selaras dengan kejayaan operasi ini, pihak ESSCOM ingin menzahirkan
penghargaan kepada 85 pegawai dan anggota pelbagai jabatan dan agensi keselamatan yang menjayakan operasi kali ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ESSCOM komited untuk terus mempergiat operasi-operasi seumpama ini ke daerah-daerah di ESSZONE bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di pantai Timur Sabah. – Info X