Search

Waspada peralihan monsun, kemungkinan banjir kilat

September 24, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Penduduk di daerah ini diminta untuk lebih berwaspada dengan perubahan cuaca terutama di kawasan rendah.

Ini berikutan fasa peralihan monsun yang berlaku di negara ini berkemungkinan kejadian banjir kilat.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kini dalam fasa peralihan monsun Timur Laut dan taburan hujan bertambah dan menyebabkan kawasan rendah dinaiki air.

“Di Papar ini juga tidak terkecuali dan secara tidak langsung akan terkesan dengan fenomena ini.

“Jadi, saya nasihatkan supaya penduduk terutama di daerah ini supaya sentiasa berjaga-jaga dan memantau keadaan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kayuhan Santai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka.

Program sempena Sambutan Hari Malaysia itu disertai hampir 1,000 orang.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk di kawasan risiko banjir supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa dan mematuhi arahan pihak berwajib termasuk sekiranya diminta berpindah.

“Tidak perlulah menunggu air masuk ke dalam rumah baru hendak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sebaik-baiknya patuhilah arahan yang dikeluarkan oleh pasukan keselamatan dari semasa ke semasa,” jelasnya. – Info X