Search

Kanak-kanak 11 tahun maut ditetak rakan bapa tiri

September 23, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak oleh rakan kepada bapa tiri mangsa di halaman rumahnya di Perumahan Pekerja Felda Sahabat 30, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa kanak kanak lelaki warga asing itu ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja sebagai Pekerja Am di ladang kelapa sawit berkenaan.

Kanak-kanak yang maut ditetak oleh rakan kepada bapa tirinya di perumahan pekerja di Felda Sahabat 30, Lahad Datu. – Foto/PDRM

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan di tempat kejadian menemui mayat kanak-kanak lelaki terbabit dalam keadaan berlumuran darah.

“Terdapat kesan tetakan oleh objek tajam dipercayai parang pada bahagian belakang kepala, hadapan dan belakang leher serta putus tapak tangan kiri mangsa.

“Polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Paulus Poka Lolo berusia 33 tahun dan bekerja sebagai Pekerja Am di ladang kelapa sawit berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Suspek dikenali sebagai Paulus Poka Lolo, 33, diburu polis.

Dr Rohan berkata, siasatan mendapati suspek adalah rakan kepada bapa tiri mangsa yang melarikan diri selepas kejadian.

“Motif kejadian masih belum dikenal pasti. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati,” katanya.

Sementara itu, Dr Rohan meminta kerjasama daripada orang ramai terutama masyarakat di sekitar Felda Sahabat, untuk menyalurkan maklumat bagi mengesan suspek di balai polis berhampiran atau kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, Asisten Superintendan Kharuddin Husain di talian 013-9071709. – Info X