Search

Banjir di Beaufort, 228 dipindahkan setakat jam 8 malam

September 23, 2023

Info X Reporters

BEAUFORT: Seramai 228 penduduk daripada 72 keluarga dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, di sini, setakat jam 8 malam ini berikutan banjir yang melanda daerah ini sejak semalam.

Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Daerah (JPBD), menunjukkan semua mangsa dipindahkan dari lima kampung yang terjejas teruk akibat bencana alam itu setakat malam ini.

Kampung terbabit ialah Suasa, Bangkalalak, Berumbai, Bakalau dan Lago, masing-masing dengan 112, 12, tiga, 97 dan empat orang mangsa dipindahkan setakat ini.

Selain kampung terbabit, antara lokasi lain yang turut terjejas akibat banjir ialah sekitar pekan Beaufort, Jalan Kampung Lawa, Beringin, Limbawang, Jalan Kampung Bingkul, Lumatai, Balibata, Binunuk, Jempangah, Jalan Batu 60, Jalan Perumahan Kerajaan, Jalan Padas Utama dan Kampung Melulugus.

Banjir melanda kebanyakan kampung di kawasan rendah sekitar daerah ini berikutan limpahan air Sungai Padas berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu di zon pedalaman sejak beberapa hari lalu.

PPS Selagon diaktifkan sejak petang semalam selepas keadaan banjir bertambah buruk terutama kampung di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Beberapa laluan di kampung dinaiki air dilaporkan turut terjejas termasuk ada yang tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan. – Info X