Search

134 mangsa banjir di Beaufort masih berada di PPS

September 27, 2023

Info X Reporters

BEAUFORT: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, di sini, kekal seramai 134 orang setakat jam 8 pagi ini.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, jumlah itu membabitkan 46 keluarga dari lima kampung iaitu Kampung Suasa, Bakalau, Bangkalalak, Lago dan Berumbai.

Kelmarin, seramai 90 mangsa dibenarkan pulang, kebanyakannya dari Kampung Bakalau setelah situasi banjir di kampung terbabit semakin pulih.

Hanya di kampung bahagian hilir Sungai Padas dilaporkan masih ditenggelami banjir, antaranya Kampung Suasa, Bangkalalak, Beringin dan Lawa.

Banjir melanda kebanyakan kampung di kawasan rendah sekitar daerah ini bemula Khamis lalu termasuk beberapa laluan sekitar pekan Beaufort berikutan limpahan air Sungai Padas berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu di zon pedalaman pada minggu lalu.

PPS Selagon diaktifkan sejak Jumaat lalu selepas keadaan banjir bertambah buruk terutama kampung di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan. – Info X