Search

Semakan SMM2H akan dibentang semula di DUN – Hajiji

September 27, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Semakan program Sabah Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H) akan dibentangkan semula oleh Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program itu diubah suai semula untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada warga asing yang mahu memiliki rumah di negeri ini.

Katanya, kemasukan warga asing dengan bakat dan kepakaran mereka, khususnya melalui program SMM2H yang dilaksanakan kerajaan mampu memberi manfaat kepada negeri ini.

“Program itu akan dibentangkan di DUN dalam masa terdekat. Kita berharap untuk melihat bakat bernilai tinggi termasuk dari Korea Selatan untuk berpindah ke Sabah,” katanya pada pembukaan rasmi Konsulat Republik Korea Selatan di Kota Kinabalu di Plaza Shell, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya serta Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-Bae.

Ketika ini, Hajiji berkata kira-kira 2,000 warga Korea Selatan menjadikan Sabah sebagai rumah kedua, dengan kebanyakan daripada mereka tinggal di ibu negeri.

Beliau berkata, walaupun jumlah itu kecil, kerajaan negeri berbesar hati dengan penyertaan aktif mereka dalam aktiviti ekonomi negeri ini.

“Secara kolektif mereka memberikan impak yang begitu signifikan, memandangkan ramai memilih untuk tinggal di sini dan membawa kekayaan serta kepelbagaian pengalaman dan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pembukaan Konsulat Korea Selatan di negeri ini adalah langkah signifikan dalam peluasan diplomatik Korea Selatan dan jaringan konsulat ke arah membina dan mengukuhkan hubungan wilayah serta global.

Katanya, Malaysia dan Korea Selatan mempunyai hubungan kerjasama selama enam dekad berikutan pembentukan hubungan diplomatik fi antara kedua negara pada 1960.

Pada tahun lalu, katanya Korea Selatan menjadi rakan dagang kelapan terbesar Malaysia, selain destinasi kelapan terbesar eksport negara.

Bagi hubungan perdagangan Korea dengan Sabah, Hajiji berkata ia menunjukkan pertumbuhan yang baik dengan eksport Sabah ke negara itu mencatat RM4 bilion, manakala import Sabah dari negara berkenaan berjumlah RM900 juta pada tahun lalu.

“Apa yang paling berharga setakat ini ialah projek pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis Korea Selatan yang bernilai RM4.2 bilion, menjadikannya satu daripada pelaburan asing terbesar di Sabah.

“Pelaburan bernilai tinggi itu bukan saja menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah tetapi juga memainkan peranan penting dalam memajukan industrialisasi dan peralihan Sabah ke arah ekonomi maju yang akan memberikan manfaat berterusan kepada pemegang taruh Korea Selatan dan wilayah ini,” katanya.

Hajiji turut menjelaskan mengenai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri, khususnya berhubung komitmen kerajaan untuk membangunkan Sabah melalui galakan perniagaan dan kemasukan pelabur ke negeri ini.

Dalam sektor pelancongan pula, Hajiji berkata pelancong Korea Selatan adalah antara penyumbang terbesar di negeri ini dengan ketibaan seramai 95,966 orang antara Januari hingga Jun lalu, menunjukkan peningkatan 2,705.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Setakat September 2023, Sabah dihubungkan terus dengan dua bandar raya di Korea Selatan, Incheon dan Busan dengan sebanyak 23 penerbangan dan 4,409 kapasiti tempat duduk seminggu,” katanya.

Beliau berkata, Sabah melihat ke hadapan untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan Konsulat Republik Korea Selatan, khususnya berkaitan perdagangan dan pelaburan, selain bidang lain seperti pertukaran kebudayaan, teknikal dan pendidikan. – Info X