Search

Kakitangan KK Auto Dealer kumpul dana, realisasi anak pedalaman beraksi di Malaysia Borneo Cup

September 27, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Demi merealisasikan impian anak-anak dari pedalaman untuk menyertai kejohanan Malaysia Borneo Cup 2023, di sini, kakitangan KK Auto Dealer ‘ringan tangan’ menyampaikan sumbangan kepada dua skuad dari pasukan Media Mix Team Junior (MMT Jr).

Kira-kira 30 kakitangan syarikat berkenaan telah mengumpul dana bagi membantu meringankan perbelanjaan pasukan berkenaan termasuk kos penginapan, makanan dan minuman.

Pengurus KK Auto Dealer, Mclaren Zang Ming Hui berkata, inisiatif itu tercetus selepas pihak pengurusan MMT Jr memaklumkan mengenai kesukaran pasukan itu mendapatkan dana.

Katanya, dia pada mulanya mahu sendiri membantu pasukan berkenaan, namun selepas beberapa kakitangan mengetahui perkara itu, mereka berbesar hati untuk turut sama mengumpul dana.

“Kebanyakan kakitangan di KK Auto Dealer juga adalah daripada kawasan pedalaman seperti Tenom dan Nabawan, apabila mereka tahu anak-anak yang akan dibawa bermain di sini adalah daripada pedalaman, mereka begitu bersemangat untuk membantu.

“Saya berharap, sumbangan daripada kami (kakitangan KK Auto Dealer) sedikit sebanyak membantu pasukan MMT Jr dan yang paling penting anak-anak daripada pedalaman ini dapat beraksi di kejohanan yang boleh dikatakan pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengurus MMT Jr, Willie Jude mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak pengurusan dan semua kakitangan KK Auto Dealer.

Katanya, sumbangan yang diberikan itu sangat bermakna buat pasukan, lebih-lebih lagi dengan kesukaran mendapatkan dana untuk kejohanan itu.

“Sumbangan dari KK Auto Dealer hadir tepat pada masanya, di kala kami kesuntukan masa untuk mencari dana bagi tujuan penginapan pemain, malah mereka turut memberi sumbangan makanan dan minuman.

“Setiap tahun, kami cuba untuk membawa pemain-pemain dari pedalaman untuk beraksi dengan MMT Jr di kejohanan ini.

“Walaupun terpaksa bertungkus-lumus untuk mencari dana pada setiap tahun, kami tetap bersemangat dan bangga kerana dapat membawa pemain-pemain dari pedalaman untuk beraksi di pentas Malaysia Borneo Cup.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua penyumbang, sama ada pemimpin-pemimpin kerajaan, parti, syarikat dan individu persendirian,” katanya.

Dalam edisi kali ini, MMT Jr menghantar dua pasukan untuk kategori B-12 termasuk satu pasukan yang dibarisi pemain B-11.

Pencapaian MMT Jr sejak menyertai Malaysia Borneo Cup juga boleh dibanggakan apabila pernah muncul juara pada tahun lalu dan beberapa kali naib juara pada edisi-edisi lalu. – Info X