Search

Kampung terputus hubungan, 10.45 tan makanan dihantar ke Pensiangan

September 27, 2023

Info X Reporters

NABAWAN: Badan bukan kerajaan (NGO) Forces Of Love (FOL) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melaksanakan misi kedua penghantaran bahan makanan ke kawasan terpencil di Pensiangan.

Misi kemanusiaan menggunakan helikopter itu dilaksanakan berikutan kesukaran penduduk mendapatkan bekalan makanan disebabkan jalan perhubungan darat yang terputus akibat tanah runtuh awal bulan ini belum dapat dipulihkan.

Ketua FOL Sabah, Then Chun Tak, berkata sebanyak 10.45 tan bahan makanan iaitu masing-masing lapan tan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 2.45 tan disumbangkan FOL dihantar ke Kampung Salinatan, Pensiangan.

Chun Tak (lima dari kiri) bersama anggota dan pegawai bomba yang melaksanakan misi kedua penghantaran bahan makanan ke kawasan terpencil di Pensiangan. Foto/FOL

Katanya, operasi penghantaran bahan makanan kali ini dibuat menggunakan dua helikopter, masing-masing milik JBPM yang berpangkalan di Miri, Sarawak dan helikopter PDRM dari Kota Kinabalu.

“Kumpulan sasaran misi ini ialah mangsa bencana alam tanah runtuh di Kampung Salinatan, Pensiangan dan sekitarnya. Ia termasuk penyediaan bakul makanan untuk semua mangsa sebelum musim tengkujuh Monsun Timur Laut yang bakal melanda Sabah.

“Misi kali ini juga menghantar bekalan makanan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk 321 keluarga yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bantuan bahan makanan kepada penduduk terjejas itu adalah yang kedua selepas penghantaran pertama sebanyak 2.3 tan bahan makanan atas inisiatif FOL dengan menggunakan laluan sungai yang memakan masa perjalanan kira-kira 18 jam pada 12 September lalu.

Bomba bersama Polis, APM, Rela dan penduduk kampung bersama-sama mengangkat bahan makanan ke Helikopter untuk dihantar ke kawasan terpencil di Pensiangan. – Foto/FOL

Katanya, misi berkenaan yang diketuai Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda turut dinaungi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, manakala Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan sebagai Ketua Penyelaras.

Turut terbabit dalam misi itu, katanya ialah Ketua Zon Bomba Keningau, Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan; Ketua Polis Keningau, Superintendan Yampil Garau dan Ketua Balai Polis Nabawan, Sarjan Mejar Jumati Masih.

Chun Tak berkata Misi Bantuan Kemanusiaan Salinatan – Pensiangan 2023 itu dilaksanakan berikutan kejadian tanah runtuh yang teruk hingga menjejaskan perhubungan penduduk pada 5 September lalu.

Bekalan makanan yang dihantar menggunakan Helikopter JBPM dan PDRM. – Foto/FOL

Katanya, misi kemanusiaan dilancarkan dengan kerjasama FOL dan JBPM serta agensi lain selepas menerima laporan penduduk menerusi Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, Atar Adipoh mengenai situasi mereka yang berdepan kekurangan bahan makanan.

“Misi ke kawasan itu berdepan banyak cabaran berikutan tiada perkhidmatan komunikasi dan pengangkutan, selain disulitkan lagi dengan jalan laluan utama darat yang terputus di banyak kawasan.

“Pengumpulan maklumat amat lambat dan dibuat secara manual dengan menaiki bot dan berjalan kaki dari kampung ke kampung untuk mendapatkan data.

“Selain itu, misi di lapangan juga bergantung kepada internet sekolah dan klinik kesihatan untuk membantu penghantaran maklumat atau turun ke Pekan Pensiangan untuk mendapatkan kemudahan internet,” katanya.

Helikopter JBPM yang digunakan untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan terpencil di Pensiangan. – Foto/FOL

Katanya, bantuan bahan makanan seperti beras, susu, biskut dan makanan dalam tin itu akan diagihkan kepada semua keluarga terjejas di beberapa kampung terpencil sekitar Salinatan dan Pensiangan, antaranya Kampung Kabu, Saliliran, Siatu, Simohong, Karampalon, Babayasing, Dobolon, Sibangali dan Pengaraan.

Sebelum ini, dilaporkan lebih 300 penduduk Kampung Salinatan, Pensiangan dan kawasan sekitarnya, hampir terputus bekalan makanan berikutan beberapa kejadian tanah runtuh dan jambatan rosak yang memutuskan jalan perhubungan ke kawasan terpencil itu pada awal bulan ini. – Info X