Search

Banjir di Beaufort pulih, PPS Selagon ditutup

September 27, 2023

Info X Reporters

BEAUFORT: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, di sini, yang dibuka sejak Jumaat lalu bagi menempatkan mangsa banjir di daerah ini, ditutup secara rasmi jam 10.30 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun, berkata penutupan itu selepas keadaan banjir di kawasan yang terjejas sekitar daerah ini pulih, hari ini.

“Hasil pemantauan dan penilaian oleh agensi keselamatan di bawah JPBD, keadaan banjir telah pulih sepenuhnya.

“Dengan ini, saya mengisytiharkan penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di PPS Selagon, Beaufort pada jam 10.30 pagi,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Penutupan itu dilakukan selepas 134 mangsa terakhir yang berada di PPS berkenaan sehingga jam 8 pagi tadi dihantar pulang ke rumah masing-masing.

Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Selagon dihantar pulang ke rumah masing-masing.

Penghantaran pulang mangsa banjir dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

PPS Selagon dibuka sejak Jumaat lalu berikutan peningkatan paras air Sungai Padas yang melimpahi tebing hingga menjejaskan lebih 200 mangsa daripada 70 keluarga.

Pemindahan mangsa ke PPS berkenaan bermula Jumaat hingga Ahad lalu sebelum beransur kurang mulai kelmarin apabila beberapa kawasan yang terjejas banjir beransur surut.

Kebanyakan mangsa adalah dari Kampung Suasa, Bangkalalak, Berumbai, Bakalau dan Lago.

Berikutan itu penutupan PPS berkenaan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Beaufort turut ditutup bermula jam 12 tengah hari tadi. – Info X