TAWAU: Mahkamah Majistret, di sini, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang lelaki tempatan, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya.
Tertuduh, berusia 34 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyimbah minyak diesel dan ingin membakar rumah bekas isterinya.
Kesalahan itu dilakukan pada 22 September lepas kira-kira jam 9.30 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Membalua, Jalan Apas, di sini.
Tertuduh telah menakutkan pengadu secara jenayah dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes tertuduh telah datang ke rumah pengadu dalam keadaan marah dan menyimbah minyak diesel di bahagian tepi tingkap.
Tertuduh juga turut mengarahkan pengadu supaya keluar dan jika enggan dia akan membakar rumah berkenaan.
Tertuduh dipercayai bertindak demikian susulan dihalang daripada berjumpa dengan anak bongsu mereka oleh pengadu.
Majistret Don Stiwin Malanjun kemudian mengarahkan tertuduh dihukum bermula tarikh tangkapan, selepas mempertimbangkan keseluruhan prosiding mahkamah.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X