KOTA KINABALU: Sebanyak 9,782 kotak ayam beku tanpa permit berjaya dirampas dalam empat serbuan berasingan di Sandakan, semalam.
Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hishamuddin Tahar berkata, serbuan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JKDNKA.
Katanya, rampasan membabitkan pelbagai bahagian ayam seperti sayap, peha dan dada yang dianggarkan bernilai RM2,722,604.
“Semua rampasan dibuat dalam empat serbuan berasingan yang dijalankan di Sandakan pada 27 September lalu.
“Serbuan dijalankan hasil risikan yang dijalankan pihak Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Veterinar Sandakan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Hishamuddin berkata, sepanjang serbuan berkenaan, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap seramai sembilan individu membabitkan lima lelaki warga tempatan dan empat lelaki warganegara asing.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut mengikut Enakmen Haiwan 2015.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, PDRM melalui JKDNKA sebelum ini juga melaksanakan pelbagai operasi termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah.
Katanya, serbuan turut merampas ubat-ubatan palsu serta barangan tidak berkastam, makanan sejuk beku, haiwan dan hidupan liar serta pelbagai barangan kawalan.
“Bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini, WCB/PSK berjaya melakukan lapan serbuan di Sabah dan dua serbuan di Sarawak,” katanya.
“Semua serbuan ditumpukan terhadap kumpulan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM44,281,391.70,” katanya.
Sehubungan itu, Hishamuddin berkata, PDRM melalui JKDNKA sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan.
Katanya, tindakan itu bagi memastikan semua barangan bersubsidi atau hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.
“Operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Info X