TAWAU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas dia mengaku bersalah menjual goldbar palsu bernilai RM3,998.
Tertuduh, Herman Kamarudin,30, mengaku bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang wanita dengan membuat pembayaran untuk barangan palsu berkenaan.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 20 September lepas kira-kira jam 5.47 petang bertempat di Hilltop.
Tertuduh telah didapati menipu pengadu yang juga mangsa berusia 33 tahun dengan memperdaya beliau memasukan wang ke dalam akaun bank bagi tujuan pembelian goldbar palsu.
Don Stiwin kemudian mengarahkan tertuduh dihukum bermula tarikh tangkapan, selepas mempertimbangkan keseluruhan prosiding mahkamah.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X