Search

Warga emas rentung dalam kebakaran di Sipitang

September 30, 2023

Info X Reporters

SIPITANG: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Melaliah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mayat Wong Fook On, 66, ditemui di bahagian dapur rumahnya selepas api berjaya dipadamkan anggota bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.39 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang terus dikerah ke lokasi kejadian sejauh 13 kilometer menggunakan dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi kejadian, api sedang marak membakar rumah berkenaan sebelum kerja-kerja pemadaman segera dijalankan.

“Pasukan bomba terus melakukan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 91 meter dari sumber air dari tangki jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran dalam kejadian di Kampung Melaliah, Sipitang, semalam.

Menurutnya, operasi terkawal pada 8.05 malam dan terdapat seorang lelaki ditemui rentung di bahagian dapur.

“Mayat mangsa kemudian dikeluarkan dari lokasi kebakaran sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Iswara,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada 10.36 malam. – Info X