Search

Corong kipas terbakar, Kompleks Karamunsing ‘berasap’

October 1, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kebakaran corong kipas pada dapur sebuah restoran di Kompleks Karamunsing, di sini, pagi tadi menyebabkan kawasan kompleks itu dipenuhi dengan asap tebal.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.31 pagi.

Katanya, seramai 30 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas digerakkan ke tempat kejadian.

Corong kipas yang terbakar hingga mencetus asap tebal dalam kebakaran di Kompleks Karamunsing, Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan bahagian dapur dan corong kipas sebuah restoran di ruang tingkat bawah kompleks berkenaan.

“Operasi pemadaman segera dijalankan dengan menggunakan satu aliran tiga pancutan dari jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 10.54 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Selepas memastikan tiada lagi unsur bahaya lain, operasi ditamatkan pada 11.10 pagi,” katanya.

Keadaan asap tebal di kawasan Kompleks Karamunsing, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Kompleks Karamunsing dalam satu notis yang dikeluarkan memberitahu, operasi pusat beli-belah itu dihentikan sementara sehingga esok berikutan kejadian itu.

Notis itu memberitahu, operasi dihentikan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

“Kami minta maaf atas kesulitan dihadapi dan menghargai kerana memahami keadaan ini.

“Kami yakin, operasi (di Kompleks Karamunsing) akan berjalan lancar seperti biasa esok,” kata notis berkenaan. – Info X