KOTA KINABALU: Polis Sabah melakukan perancangan bagi menangani masalah wujudnya koloni pendatang asing tanpa izin (PTI) di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya sedang memantau kewujudan koloni yang dikatakan mencecah lebih 500 koloni oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
“Apa yang dikatakan oleh ESSCOM berkenaan koloni PTI ini ada kebenaran dan hasil maklumat juga mendedahkan wujudnya beberapa koloni PTI di seluruh Sabah.
“Kita sedang memantau kewujudan koloni yang dinyatakan pihak ESSCOM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang dan akan melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan keadaan ini dapat ditangani sebaik mungkin.
“Usaha itu termasuklah membuat perancangan dengan mengarahkan semua daerah turut melakukan tindakan sama berkaitan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Motosikal Berkuasa Tinggi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Sementara itu, mengenai program berkenaan, Jauteh berkata, sejumlah lapan motosikal berkuasa tinggi disumbangkan oleh kerajaan Sabah kepada Polis Kontinjen Sabah untuk penugasan khas.
“Kita akan memastikan semua lapan buah motosikal berkuasa tinggi ini akan digunakan untuk penugasan maksimum bagi memastikan keselamatan di Sabah berjalan lancar.
“Penugasan motosikal ini juga akan dimulakan Jumaat depan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya sumbangan ini juga mampu mengatasi masalah kekurangan aset terutama motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi Kontinjen Sabah.

“Kita berhadapan kekurangan penggunaan motosikal seiring perkembangan pembangunan negara yang menyebabkan kawasan semakin luas serta jalan raya turut bertambah.
“Ini menyebabkan motosikal sedia ada tidak dapat menampung keperluan sepenuhnya terhadap penugasan bagaimanapun masih boleh digerakkan bagi memastikan keadaan lalu lintas di Sabah dapat ditangani.
“Dalam masa sama kita juga mampu menggerakkan motosikal bagi tujuan khidmat pengiring trafik walaupun berhadapan masalah kekurangan aset,” katanya.
Motosikal berkuasa tinggi dari model Soft Tail Low Rider St Harley Davidson dan dikuasakan dengan enjin jenis V-Twin berkapasiti 1,923 CC itu bernilai RM1.076 juta yang diagihkan dalam dua fasa sumbangan.
Motosikal ini juga mempunyai kekuatan enjin 168 Nm dengan 3500 RPM dan dilengkapi dengan 105hp kuasa kuda bersamaan 5020 RPM dan sering digunakan sebagai pengiring trafik di negara luar seperti Amerika Syarikat bagaimanapun pertama kali digunakan untuk penugasan pengiring prestige di Sabah. – Info X