Search

Kes lemas di Sungai Pegalan, mangsa kedua ditemui hari ini

October 5, 2023

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang lagi kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau, di sini ditemui lemas petang tadi.

Mangsa Arlina Jabar, 9, ditemui 13.55 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai jatuh, jam 6.15 petang.

Sebelum ini, kakak Arlina iaitu Azila, 12, yang turut hilang ketika cuba menyelamatkan adiknya itu ditemui lemas pada Selasa lalu.

Mayat mangsa ditemui kira-kira 13.55 km dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh. – Foto/Bomba

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, mangsa ditemui oleh orang awam pada jarak 13.55 km dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

“Pasukan bomba segera ke lokasi kejadian untuk mengambil mangsa sebelum menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam.

Sharudy berkata, operasi SAR yang memasuki hari keempat itu membabitkan radius pencarian sejauh tujuh kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam menggunakan dua buah bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Sabah.

“Pencarian juga dilaksanakan dengan teknik menyusur tebing sungai secara berjalan kaki oleh anggota penyelamat dan orang kampung (Surface Serching).

“Bantuan pencarian di Jawa Sembiling turut dilakukan anggota dari BBP Tenom pada jarak tiga kilometer menyusuri tebing sungai,” katanya.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis. – Foto/Bomba

Operasi SAR turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM yang menjalankan operasi pencarian dengan melakukan selaman.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 5 petang Isnin lalu, Azila dan adiknya Arlina dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan sebelum Arlina dikatakan terjatuh ke dalam sungai.

Kakaknya kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Arlina, namun kedua-duanya kemudian dilaporkan tenggelam. – Info X