Search

Aksi demonstrasi polis gempur ‘penyeludup’ senjata api pamer kecekapan D9

October 5, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Tangkas dan cekap. Itu yang dipamerkan melalui persembahan khas oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Sabah melalui babak lakonan menumpaskan penyeludupan senjata api sempena Majlis Perasmian Penutupan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Close Quarter Battle (CQB) di Lapang Sasar PDRM, Lok Kawi, di sini, hari ini.

Aksi tangkas itu dilakukan seramai 36 pegawai dan anggota termasuk enam wanita yang berjaya menamatkan LDP CQR Siri 1/2023 yang dirasmikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Babak selama hampir 10 minit itu mempamerkan strategi dan teknik khas pegawai dan anggota D9 Kontinjen Sabah dalam menumpaskan penjenayah.

Aksi pegawai dan anggota D9 ketika melakukan demonstrasi menumpaskan penyeludupan senjata api. – Foto/PDRM

Demonstrasi bermula apabila satu maklumat diterima berkenaan penyeludupan senjata api dan susulan itu Ops Room telah diaktifkan.

Hasil maklumat risikan dilapangan serta bantuan teknikal, tempat persembunyikan suspek telah berjaya dikesan.

Susulan itu, satu serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota D9 Kontinjen Sabah dan empat penjenayah ditembak mati manakala pegawai dan anggota tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Jauteh berkata, LDP ini bermula pada 25 September sehingga 5 Oktober 2023 yang mana peserta yang terlibat terdiri daripada JSJ IPK Sabah, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah khususnya daerah Pantai Timur dan Kota Kinabalu.

Katanya, CQB atau tempur jarak dekat ini adalah kemahiran yang penting untuk diketahui serta dikuasai khususnya oleh pegawai serta anggota JSJ.

“Ini kerana selaku pegawai dan anggota JSJ, kita adalah anggota barisan hadapan yang perlu sentiasa bersedia mendepani sebarang insiden yang memerlukan kemahiran taktikal khususnya dalam menjalankan serbuan dan tangkapan.

“Selepas ini, pegawai dan anggota yang terlibat kembali ke formasi masing-masing… aplikasikanlah ilmu CQB yang dipelajari dan sekirannya berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan supaya kejayaan sentiasa dalam genggaman,” ujarnya.

Jauteh bergambar bersama peserta LDP CQB di Lapang Sasar PDRM Sabah, Lok Kawi, Penampang. – Foto/PDRM

Sebelum mengakhiri ucapan, Jauteh berkata dalam apa jua operasi yang dijalankan, keselamatan diri adalah paling utama dan pastikan pelaksanaan sebarang operasi adalah mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan.

LDP CQB dikelola dan dikoordinasi Pegawai Turus D9 JSJ Kontinjen Sabah, Superintendan AlHusin Halil. – Info X