PUTATAN: Pengguna di Sabah menyifatkan penurunan harga beras putih import (BPI) kepada maksimum RM31 bagi kampit 10 kilogram (kg) yang bermula hari ini dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga.
Mereka turut bersyukur atas inisiatif kerajaan memberikan subsidi terhadap barang keperluan itu yang sebelum ini mengalami kenaikan harga mencecah antara RM38 hingga lebih RM40 setiap 10 kilogram.
Pekerja kontrak, Laina Tiawa, 39, berkata dengan harga baharu BPI yang lebih rendah, ia amat melegakan keluarganya yang sebelum ini terpaksa ‘mencatu’ beras kerana bimbang cepat habis jika penggunaannya tidak dikawal.
“Bagi keluarga saya yang ramai anak, kami ada 10 orang, jadi beras lima kilogram hanya bertahan dua hari, manakala kampit 10 kg hanya bertahan selama lima hari.
“Jadi memang sangat terbeban kerana setiap minggu terpaksa membeli beras, lebih-lebih lagi dengan harga yang tinggi hingga hampir RM40 sekampit sebelum ini.

“Mahu tidak mahu, kami terpaksa catu beras, sukat betul-betul guna cawan supaya cukup untuk mengalas perut, kerana takut beras cepat habis.
“Apabila harga turun, alhamdulillah, saya memang bersyukur. Baki duit beli beras boleh lagi digunakan untuk beli minyak, gula dan bahan makanan lain,” katanya.
Sementara itu, bagi peniaga kecil, Mohd Iskandar Abdul Kamal, 55, (gambar) berkata harga subsidi yang diberikan kerajaan amat meringankan beban golongan peniaga kecil dan keluarga berpendapatan rendah.
Beliau turut berharap, harga BPI yang rendah itu berkekalan untuk tempoh yang lama bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang terbeban dengan kenaikan BPI sebelum ini.
“Kita bersyukur sangat harga beras sudah turun, ia tentunya meringankan beban pengguna. Jadi terima kasih kepada kerajaan yang memberi subsidi semoga harga ini kekal dan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kawal Selia Padi Dan Beras Sabah, Abd Alim Multazam, mengingatkan pengguna di Sabah agar tidak melakukan pembelian panik berikutan penurunan harga BPI mulai hari ini.
Katanya, tiada masalah bekalan BPI di negeri ini dan pengguna dijamin tidak berdepan kesukaran mendapatkan beras dengan harga yang baharu itu.

“Kita menasihatkan pengguna supaya jangan panik, beli satu atau dua kampit beras cukup. Kita akan pantau bekalan beras supaya sentiasa ada masuk dalam pasaran.
“Setakat ini juga belum semua harga BPI diturunkan tetapi kita sudah meminta pemborong memaklumkan kepada peruncit supaya meletakkan harga baharu dan mungkin ia selesai dalam sehari dua ini,” katanya.
Mengenai harga baharu BPI selepas subsidi, beliau berkata kadar harga dinyatakan kerajaan iaitu RM31 bagi kampit 10 kg adalah harga maksimum yang boleh dikenakan peruncit kepada pengguna.
Katanya, harga maksimum itu mungkin dikenakan peruncit di pedalaman atau luar bandar selepas mengambil kira kos pengangkutan, manakala harga yang lebih rendah di pasar raya atau kedai runcit di kawasan bandar.
Tinjauan mendapati harga BPI terendah di Pasaraya Bataras, di sini, ialah RM28.50 bagi kampit 10 kg iaitu jenama Cap Anggur keluaran Sazarice Sdn Bhd.
Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan meluluskan pemberian subsidi sebanyak RM950 satu tan BPI di Sabah dan Sarawak kerana memahami keluhan rakyat yang terbeban akibat kenaikan harga sebelum ini.
Katanya, kerajaan memahami rakyat Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pilihan yang banyak selain bergantung kepada BPI berikutan kadar pengeluaran beras tempatan yang rendah, iaitu hanya 25 peratus bagi di Sabah. – Info X