Search

Suami isteri warga asing ditahan, lebih 4 kg syabu dirampas

October 6, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Suami isteri warga asing ditahan bersama lebih empat kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM240,000 di kawasan Jeti CIQ Lama, di sini, Rabu lalu.

Kedua-dua suspek terbabit ditahan sepasukan polis daripada Balai Polis Tawau dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 8.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian, kedua-dua suspek sedang membawa sebuah tong dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Katanya, pasukan polis bertindak menahan dan membuat pemeriksaan ke atas barang yang dibawa oleh kedua-dua suspek terbabit.

“Hasil pemeriksaan di dalam tong itu menemui sebuah kotak yang mengandungi tiga bungkusan plastik teh cina dan satu bungkusan plastik berwarna emas.

“Pemeriksaan lanjut, semua bungkusan plastik itu mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 4,091.88 gram,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Dadah syabu seberat lebih 4 kg yang dirampas selepas polis menahan suami isteri warga asing di kawasan Jeti CIQ Lama, Tawau.

Menurutnya, siasatan awal pula, pasangan itu adalah warga asing berusia 22 dan 21 tahun serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek itu adalah pekerja ladang di Kampung Paris, Lahad Datu dan mahu balik ke negara asal melalui jalan haram.

“Semua dadah yang dirampas itu juga dipercayai untuk dibawa dan dipasarkan ke negara jiran,” katanya.

Jasmin berkata, semakan rekod jenayah lampau, kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga negatif sebarang jenis dadah.

“Polis kini sedang berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah ini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Pasangan terbabit direman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X