KOTA KINABALU: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu akan memutuskan tindakan dua pemimpinnya kerana menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, semalam.
Pemimpin berkenaan ialah Chan Foong Hin dan setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe. Chan dan Phoong adalah antara 88 individu yang dikurniakan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu(PGDK), yang membawa gelaran “Datuk”, dalam istiadat pertabalan di Istana Seri Kinabalu semalam.
Dalam respons kepada Malaysiakini, Loke berkata dia telah menasihatkan kedua-dua mereka supaya mematuhi dasar DAP, yang menetapkan bahawa hanya ahli parti yang telah bersara dibenarkan menerima darjah kebesaran daripada ketua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ketika Chan memaklumkan CEC dua hari lalu mengenai anugerah berkenaan.
“Tanpa mengemukakan sebarang permohonan, Chan berkata kedua-dua nama itu telah diwartakan dalam senarai anugerah. “Mereka telah melanggar dasar parti dengan menerima anugerah itu.
“Oleh itu, perkara ini akan dirujuk dan dibincangkan pada mesyuarat CEC akan datang,” katanya menurut laporan Malaysiakini.
Terdahulu, Chan, yang juga timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan, dipetik sebagai berkata oleh The Borneo Post bahawa dia sukar menolak anugerah itu kerana dia adalah “orang Sabah” dan anugerah itu diberi oleh Yang DiPertua Negeri dan kerajaan Sabah”.
“Jadi, saya menerimanya dengan niat baik,” katanya. Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu juga berkata dia dan Phoong telah mempertimbangkan untuk menolak darjah kebesaran berkenaan tetapi nama mereka telah diwartakan.
“Apabila nama kami diwartakan, kami rasa kami perlu menghormati keputusan dan tawaran daripada kerajaan Sabah dan Tun Juhar,” katanya.
Katanya, dia juga sedar mengenai dasar DAP dan bersedia menghadapi keputusan parti berhubung perkara itu. – Info X