Search

Seorang kakitangan kerajaan jadi dalang sebar dakwaan salah guna kuasa Hajiji – Pandikar

October 11, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendakwa, seorang kakitangan kerajaan dipercayai menjadi dalang yang menyebarkan maklumat urusan permohonan tanah dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa membabitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, kakitangan terbabit dipercayai menyebarkan maklumat itu kepada pihak tertentu dengan tujuan bagi menimbulkan prasangka buruk terhadap Hajiji.

Beliau berkata, maklumat berkenaan kemudian disebarkan di media sosial sebagai dakwaan salah guna kuasa membabitkan Hajiji.

Pandikar turut mendedahkan bahawa kakitangan terbabit juga mempunyai hubungan sebagai kawan dengan pihak tertentu yang turut mempunyai minat untuk memohon tanah yang terletak di Pulau Balambangan, Kudat itu.

Katanya, perbuatan kakitangan terbabit tidak wajar kerana jelas mempunyai niat tertentu dan perlu disiasat bagi mendedahkan kebenaran serta membersihkan nama Ketua Menteri daripada tuduhan yang tidak berasas.

“Bagi saya laporan polis itu adalah wajar dan mudah-mudahan nanti akan timbul kebenaran yang sebenar. Ini kerana, apa yang saya dapat tahu bahawa informasi di dalam media sosial itu adalah didapati daripada seorang individu yang disebut sebagai kakitangan kerajaan yang mempunyai informasi dalaman.

“Beliau telah mengeluarkan kenyataan itu atas sebab dia ini berkawan dengan pihak tertentu yang juga mempunyai minat untuk memohon tanah di kawasan Balambangan.

“Jadi ini perlu disiasat kerana Hajiji adalah seorang Ketua Menteri yang sangat baik, dia tidak pandai mengaibkan orang lain. Kalaupun dia marah kepada pegawai, dia bercakap secara berhemah.

“Saya tidak nampak karektor seperti Hajiji sanggup menggadaikan maruah beliau,” katanya dalam satu sidang media, di sini, berhubung tuduhan salah guna kuasa membabitkan urusan permohonan tanah di Pulau Balambangan yang dilemparkan terhadap Hajiji.

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, berdasarkan karektor Hajiji itu, beliau tidak nampak Ketua Menteri Sabah Ke-16 itu sebagai seorang pemimpin yang rakus, tamak dan mahu mendominasi kuasa dalam kerajaan negeri sekarang.

Pandikar Amin berkata, sebagai penjawat awam, kakitangan kerajaan seharusnya melaksanakan amanah dengan baik walaupun berlaku pertukaran kerajaan kerana mereka kekal memberikan perkhidmatan tanpa mengira siapa yang memerintah.

Katanya, sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri, Hajiji tidak banyak melakukan pertukaran pegawai kerajaan termasuk yang duduk di tempat yang strategik.

“Sebagai contoh, Setiausaha Kerajaan Negeri yang sekarang ini, dia bukan dilantik Hajiji, lantikannya itu adalah daripada kerajaan dahulu. Tapi, Hajiji tidak menukarnya dengan sesiapapun.

“Jadi saya sama sekali tidak ragu dan saya yakin bahawa apapun perkara yang dibuat Hajiji adalah mengikut lunas peraturan, undang undang dan perlembagaan,” katanya.

Pandikar yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) turut mendedahkan bahawa beliau juga mengenali individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa permohonan tanah itu, iaitu seorang pelabur tempatan dikenali sebagai Datuk Thomas Haa.

Katanya, beliau sendiri mengenalinya selama berpuluh tahun sebagai seorang pelabur yang gemar membangunkan tempat terpencil untuk jangka masa panjang dan kini turut melabur dalam aktiviti agro pertanian di Papua New Guinea.

Beliau mengakui permohonan tanah di Pulau Balambangan itu dikaitkan dengan Thomas yang dikatakan mahu melaksanakan penternakan kambing berdasarkan kesesuaian tanah dan cuaca di pulau berkenaan. – Info X