KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, beliau tiada kena-mengena dengan dakwaan penyelewengan urusan tanah di Pulau Balambangan, Kudat.
Katanya, nama beliau telah disalah guna oleh beberapa pemimpin politik di Sabah berhubung isu yang turut dikaitkan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu.
Berikutan itu, katanya, beliau sudah meminta peguamnya untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan namanya dalam urusan tanah terbabit.
“Berita mengenai urusan tanah di Pulau Balambangan, Kudat menarik perhatian orang awam dan menimbulkan perbincangan secara meluas.
“Saya sendiri walaupun saya bukan lagi Ketua Menteri, nama saya disalah guna apabila dikaitkan dengan urusan berkenaan oleh beberapa pemimpin politik di Sabah.
“Saya mahu menjelaskan saya menafikan sebarang pembabitan atau salah laku dalam kes ini. Atas sebab itu, saya mengambil tindakan undang-undang untuk menyangkal dakwaan tidak berasas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu berkaitan dakwaan berlaku salah guna kuasa berhubung urusan permohonan tanah di Pulau Balambangan, Kudat membabitkan seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Hajiji.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, surat tuntutan terhadap pihak yang terbabit juga sudah diserahkan oleh peguamnya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, mendakwa ahli perniagaan yang dikaitkan dalam isu itu juga dilihat rapat dengan Mohd Shafie.
Hajiji dalam kenyataannya sebelum ini juga menafikan berlaku salah guna kuasa dalam urusan kelulusan pengambilan tanah di Kudat itu dan menegaskan semua permohonan mengikut undang-undang.
Katanya, dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa membabitkan dirinya berniat jahat, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan namanya. – Info X