Search

Borneo Matsuri : Festival Muzik ACG Pertama di Borneo 21, 22 Oktober

October 12, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: KUPIKUPI FM, dengan kerjasama Projek Hikayat dan Hobbycon ingin mengumumkan, Festival Muzik AGC pertama “Borneo Matsuri” yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu pada 21 dan 22 Oktober depan.

Festival yang julung kali diadakan itu pastinya menjanjikan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan buat para penggemar anime dan pencinta muzik.

Penganjuran Borneo Matsuri bertujuan bagi meraikan budaya ACG Jepun yang impaknya dilihat begitu bertenaga dan luar biasa di seluruh dunia, termasuk di Borneo.

Dunia ACG di Borneo juga telah berkembang pesat, malah telah menyelami budaya dalam kalangan kita sehingga menjadi ‘sub budaya’ khususnya para belia.

Sudah pasti ia wajar diraikan serta diberi pengiktirafan atas segala bakat seni dan kekreatifan mereka.

Sebagai respon kepada ‘kebangkitan’ ACG itu, KUPIKUPI FM mewujudkan Borneo Matsuri sebagai platform bagi melonjakkan bakat anak muda ini agar menjadi perhatian, di samping memberi peluang kepada mereka mempamerkan kemahiran masing-masing iaitu daripada cosplay menakjubkan kepada persembahan yang memukau.
Borneo Matsuri ini juga lebih daripada sekadar perhimpunan peminat ACG kerana ia membuka laluan kepada para belia mengembangkan minat mereka menjadi sesuatu yang luar biasa.

Pengurus Besar KUPIKUPI FM, Lester Miol berkata, walaupun komuniti ACG dilihat sebagai budaya yang bersahaja, tetapi ia kini semakin mekar daripada satu benih yang kecil, sehingga berjaya meluaskan kuasanya, seterusnya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Borneo Matsuri yang dianjurkan KUPIKUPI FM, sangat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada komuniti yang semakin berkembang ini, kerana festival unik ini menjanjikan hari yang menyeronokkan untuk para belia dan keluarga mereka bagi mengeratkan lagi hubungan.

“Dengan kerjasama diantara KUPIKUPI FM, stesen radio komuniti tempatan no. 1 di Borneo, dan penganjur Projek Hikayat dan Hobbycon, Borneo Matsuri bersedia untuk mencipta semula landskap/arena festival ACG di Borneo. Gabungan kepakaran dan dedikasi organisasi-organisasi ini dalam memastikan festival yang bertaraf tinggi, direka sepenuhnya untuk menarik dan memberi inspirasi kepada pengunjung,” katanya.

Lester berkata, festival berkenaan bakal menampilkan barisan tetamu jemputan dan aktiviti yang dinamik, termasuk persembahan ‘live’ daripada artis tempatan popular, pameran cosplay yang menggembirakan, gerai barangan eksklusif, perbincangan panel yang menarik, bengkel interaktif dan banyak lagi.

Katanya, para hadirin juga boleh menjangkakan satu pengalaman yang benar-benar baharu, di samping berpeluang beramah mesra dengan peminat yang ‘sekepala’ dengan mereka serta menemui aspek baharu yang menarik dalam ACG.

“Dengan semangat untuk ‘mengembalikan’ kepada komuniti juga, Borneo Matsuri juga dengan sukacitanya juga menjemput warga rumah anak yatim tempatan. Kami percaya kepada ‘kuasa’ hiburan yang menghadirkan kegembiraan selain ‘memahat’ satu kenangan manis buat anak-anak yatim yang menyertai Borneo Matsuri.

“Dengan menjemput warga rumah anak yatim mengambil bahagian di Borneo Matsuri juga, kami berhasrat untuk menyediakan satu pengalaman baharu dan hiburan kepada mereka, besa harapan kami agar dapat menceriakan anak-anak ini, di samping memberi inspirasi kepada mereka.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penaja kami yang dihormati atas sokongan tidak berbelah bahagi bagi membantu menjadikan Borneo Matsuri menjadi satu realiti. 

“Kami berterima kasih kepada penaja kami termasuk F&N, Predator, Hotlink dan Akademi Air Asia komitmen mereka terhadap festival ini.  Kami juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada organisasi yang telah menyokong kami dalam menjayakan Borneo Matsuri seperti Ming Garden Hotel dan Japan Foundation Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perniagaan Pengguna, Produk dan Pemasaran Acer Malaysia, Johnson Seet menyatakan keghairahan Predator untuk festival itu.

“Predator komited untuk menyampaikan pengalaman permainan terbaik kepada semua pemain, selain perkongsian kami menerusi festival seperti Borneo Matsuri yang merupakan satu peluang baik untuk melibatkan diri dengan komuniti tempatan yang bertenaga di Sabah.

“Kami berharap dapat bertemu denyan peminat ACG, peminat muzik Borneo, dan belia pada hujung minggu nanti (21 dan 22 Oktober) sempena Borneo Matsuri.

“Mari datang dan temui kami di gerai Predator serta mengambil bahagian dalam susunan  aktiviti dan hadiah menarik, dengan kerjasama KUPIKUPI FM Cruiser, kami turut menampilkan pemain cosplay Amelia Khor dan Ai Nurul,” katanya.

Sementara itu, dua lagi penaja iaitu F&N dan Hotlink turut menyatakan keterujaan mereka untuk festival Borneo Matsuri itu nanti.

“F&N telah menghadirkan keseronokan dan kebaikan kepada Malaysia selama 140 tahun!  Ayuh raikan sisi cerah kehidupan bersama F&N di Festival Muzik ACG PERTAMA Borneo,” kata syarikat itu manakala Hotlink menyatakan “Kami teruja untuk mengumumkan bahawa Borneo Matsuri, Festival Muzik ACG pertama di Borneo, dibawakan oleh rakan kongsi rasmi utama, Hotlink.”

Borneo Matsuri dijangka menarik kehadiran peminat dari seluruh rantau ini, termasuk peminat anime, cosplayer, peminat muzik, dan individu yang ingin tahu yang ingin serta menerokai dunia ACG yang mempesonakan. 

Festival ini juga menawarkan peluang baik untuk perniagaan di mana penaja tempatan boleh mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

Untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai pengumuman Borneo Matsuri, penjualan tiket, dan barisan artis boleh layari media sosial rasmi kami @borneomatsuri. – Info X