TUARAN: Seorang lelaki maut selepas dihempap pokok ketika menunggang motosikal di Jalan Impian Jadi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa Syair Sukma, 45, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.58 pagi sebelum sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi sejauh 11 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati seorang mangsa dihempap pokok ketika menunggang motorsikal.
“Pasukan bomba kemudian bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap mangsa ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital oleh Forensik PDRM untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan jam 9.45 pagi sebaik memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X