Search

ATM, PDRM bincang keperluan tambah pos kawalan di sempadan

October 13, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia sedang menjalankan perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengenal pasti keperluan penambahan pos kawalan di kawasan sempadan negara.

Panglima 5 Divisyen Sabah, Mejar Jeneral, Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, perbincangan itu adalah bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertindihan tugas atau pengoperasian antara kedua-dua pihak dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara.

“Perkara ini masih dalam perbincangan bersama PGA disebabkan pihak PDRM juga sedang dalam pembinaan pos kawalan di kawasan sempadan.

“Jadi kita perlu tengok secara teliti dengan koordinasi yang betul bagi mengelakkan berlakunya pertindihan.

“Sekiranya keputusan menunjukkan terdapat kawasan pos yang tidak dapat ditampung oleh PDRM dan memerlukan kehadiran Tentera Darat maka kita akan masukkan dan memohon untuk mewujudkan pos yang lengkap dan bersesuaian di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perbarisan Perintah Ulungnya di Padang Kawad Rejimen Keenam Artileri Diraja, Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Malek menyampaikan Sijil Anugerah Kecemerlangan kepada anggotanya yang berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam kursus kerjaya yang dihadiri.

Turut hadir, Panglima 5 Briged Brigedier Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof, Panglima 13 Bgd Brigedier Jeneral Hashim Osman, Komander Artileri Divisyen 5 Divisyen Kolonel Mohd Imran Ibrahim dan Komander Rejimen 516 Askar Wataniah Kolonel Datuk (Dr) Lim Teck Kiong.

Beliau bagaimanapun berkata kesemua keputusan itu adalah tertakhluk kepada perbincangan bersama pihak jawatan keselamatan Sabah.

Dalam perbarisan itu, Malek turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada 11 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta menyampaikan Sijil Anugerah Kecemerlangan kepada enam anggota yang berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam kursus kerjaya yang dihadiri.

Sementara itu, Malek berkata setakat ini 5Div mempunyai 12 pos kawalan sedia ada untuk menjaga keselamatan sempadan yang sentiasa ditambah baik iaitu dua atau tiga buah daripadanya sedang dalam proses pembinaan dan meningkatkan kelengkapan.

“Pos kawalan bertindak sebagai pemerhati hadapan di mana kita membuat pemerhatian dan pemantauan berkenaan keadaan keselamatan di Sabah.

“Terdapat juga pos gabungan antara Tentera Darat Indonesia yang bukan hanya menjaga keselamatan dari segi jenayah rentas sempadan tetapi juga satu platfom untuk mengeratkan hubungan kerjasama dengan Indonesia dalam konteks keselamatan sempadan Sabah,” katanya.

Sepertimana yang diumumkan dalam ucapan ulungnya, beliau berkata kerjasama dengan agensi keselamatan awam lain mampu merapatkan jurang kekangan dan mengoptimumkan peranan serta tugas sebagai pasukan keselamatan yang digeruni pihak musuh.

“Kerjasama ini juga termeteri di dalam skop tugasan sekunder kita iaitu untuk membantu pihak berkuasa awam yang lain dan perlu diperkemas agar kefahaman kerjasama dan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan baik, teratur dan berkesan dalam mencapai kesepaduan di dalam mempertahankan negara.

“Saya juga arahkan semua peringkat briged dan pasukan agar meningkatkan kerjasama antara agensi keselamatan serta masyarakat di kawasan masing-masing agar kita tidak menjalankan tugas secara sendiri tetapi bergerak sebagai sebuah pasukan dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. – Info X