KOTA KINABALU: Ahli perniagaan, Thomas Hah Tiing Siu yang didakwa terbabit dalam ‘kontroversi’ berkaitan perjanjian tanah di Pulau Balambangan, Kudat, menarik balik cadangan pelaburan syarikatnya di negeri berkenaan.
Hah tidak menjelaskan secara khusus pelaburan berkenaan namun ia dipercayai berkaitan dengan isu penternakan kambing dan perlombongan pasir silika di Pulau Balambangan, yang menjadi viral di media sosial.
“Setelah mengambil kira isu dan polemik yang dibangkitkan pihak tertentu, dengan rasa kesal syarikat telah membuat pertimbangan sewajarnya dan memutuskan untuk menarik balik cadangan pelaburan pembangunan untuk sektor pertanian kawasan terbabit.
“Kontroversi yang telah berlaku yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan keyakinan rakan pelabur kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Hah berkata, semua permohonan yang dibuat adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri bagi memajukan agenda pertanian negeri untuk meningkatkan keselamatan makanan.
Menurutnya, surat rasmi kepada kerajaan negeri bagi memaklumkan keputusan itu akan dikemukakan kemudian.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini didakwa menyalahgunakan kuasa dalam kelulusan enam permohonan tanah melibatkan 968.4 hektar.
Beliau kemudian menafikan dakwaan itu, yang timbulkan di Facebook, dan mendakwa ia dilakukan untuk mencemarkan nama baiknya.
Hajiji berkata semua permohonan telah melalui prosedur yang ditetapkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC).
Beliau juga mengarahkan siasatan terhadap kebocoran dokumen sulit, yang talh disebarkan.
Hah dalam kenyataannya turut menegaskan permohonan yang dibuat memenuhi semua peruntukan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Permohonan yang dibuat adalah selaras dengan agenda kerajaan negeri untuk memajukan sektor pertanian demi keselamatan makanan melalui cadangan projek penternakan dan pertanian serta dirujuk kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
“Tujuan ini jelas dinyatakan dalam setiap permohonan. Kelulusan yang diberikan Kerajaan Negeri mengandungi pelbagai syarat dan antaranya jika syarikat tidak membangunkan tanah seperti yang dihasratkan, kelulusan itu boleh dibatalkan,” katanya.
Sebelum ini, dua ADUN Warisan Alias Sani (Sekong) dan Calvin Chong (Elopura) membuat laporan polis terhadap Hajiji, yang juga presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Pemuda Warisan turut memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar pula membuat laporan polis bagi menangkis dakwaan berkenaan. – Info X