Search

Laksana IC Sabah hanya bila Kerajaan Negeri sudah bersedia – SAPP

October 16, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) tidak terburu-buru untuk menggesa kerajaan supaya melaksakan Kad Pengenalan (IC) Sabah kerana berpendapat terdapat beberapa lagi perkara lain lebih penting dan mendesak yang perlu dilaksanakan di negeri ini.

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee berkata, parti itu bersetuju dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa perkara lain seperti sara hidup harian rakyat, ekonomi dan infrastruktur asas memerlukan perhatian penuh Kerajaan Negeri.

“Cadangan IC Sabah telah pun dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 22 Mac 2022 dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat dan bermaklumat.

“Pada ucapan penggulungan, Ketua Menteri telah menjawab bahawa perkara IC Sabah akan diberi pertimbangan sewajarnya.

“SAPP yakin cadangan IC Sabah dan juga pemulangan Labuan ke Sabah akhirnya akan berlaku nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu sebelum ini, SAPP menyatakan IC Sabah akan menjadi mekanisme untuk menjaga status kerakyatan rakyat Sabah dan membolehkan kerajaan negeri menghapuskan MyKad yang dikeluarkan secara meragukan. – Info X