Search

Ugut anak guna pisau, bapa dipenjara 12 bulan

October 16, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang bapa selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap anaknya, Ogos lalu

Tertuduh dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Don Stiwin Malanjun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Menurut pertuduhan, tertuduh yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri didakwa melakukan perbuatan itu pada 4 Ogos lepas kira-kira jam 9 pagi di sebuah rumah di Jalan Tiku.

Tertuduh telah melakukan ugutan jenayah terhadap anak lelakinya yang berusia 13 tahun untuk menakutkannya dengan mengacukan sebilah pisau.

Difahamkan tertuduh dipercayai melakukan perbuatan itu susulan terdengar satu bisikan, namun tertuduh disahkan tidak mengalami isu kesihatan mental.

Tertuduh dalam rayuannya memohon supaya hukumannya diringankan dengan alasan telah insaf dan menyesal dengan perbuatannya itu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 bulan dan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 4 Ogos lalu.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X