Search

Suami maut, isteri parah nahas bertembung lori

October 16, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang pemandu maut manakala isterinya parah selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Batu 32 Jalan Inagus, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, pada jam 10.02 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan kereta jenis SUV bertembung dengan sebuah lori.

“Terdapat dua orang mangsa tersepit di dalam kereta SUV berkenaan dan usaha mengeluarkan mangsa terus dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Lori yang terbabit kemalangan dengan kenderaan SUV Toyota Fortuner di Semporna. – Foto/Bomba

Bagaimanapun, katanya, pemandu kenderaan terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, manakala penumpangnya cedera parah.

“Mangsa yang parah diberikan rawatan awal oleh pihak EMRS, sebelum dihantar ke Hospital Semporna menaiki ambulan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Madzlan berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.30 pagi. – Info X