Search

Polis buka kertas siasatan hina agama Islam

October 17, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis membuka kertas siasatan berhubung hantaran tular di media sosial Facebook yang berbaur penghinaan terhadap agama Islam.

Hantaran berkenaan dipercayai dilakukan seorang pengguna akaun Facebook bernama ‘Ily Mel’ yang tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan polis itu pada 10.21 pagi semalam.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati hantaran itu telah dipadam namun beberapa tangkap layar hantaran pemilik akaun Facebook berkenaan yang menghina agama Islam mula dikongsi dan tular di media sosial sehingga mendatangkan reaksi negatif dalam kalangan warganet.

“Kes masih dalam siasatan polis dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman jika sabit kesalahan penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.

“Kes juga turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Sammy berkata pihaknya menasihatkan orang awam supaya tidak memuat naik sebarang hantaran di mana-mana platform media sosial yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan mendatangkan kegusaran orang awam. – Info X