Search

Pemandu parah, treler bawa balak terbalik

October 18, 2023

Info X Reporters

TAMBUNAN: Seorang pemandu parah selepas treler muatan balak dipandunya terbabas sebelum terbalik di Kampung Babagon di sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kejadian jam 6.46 petang itu membabitkan pemandu berusia 27 tahun.

“Kejadian berlaku membabitkan treler yang membawa muatan kayu balak dipercayai hilang kawalan.

“Treler berkenaan terbabas lalu terbalik ke tepi jalan menyebabkan pemandu tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan lelaki yang mengalami kecederaan parah itu diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam treler. – Foto/Bomba

“Mangsa dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan jam 7.50 malam,” katanya. – Info X