Search

Olahraga MSSM Kebangsaan : Sabah masih dominasi, Johor kejar rapat

October 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah mendahului pesaing lain apabila mengutip sembilan pingat emas di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Kebangsaan Kali Ke-63, yang masuk hari ketiga, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, di Paroi, Negeri Sembilan, hari ini.

Tampil selaku juara bertahan, kontinjen Sabah bagaimanapun dikejar rapat kontinjen Johor yang setakat ini berjaya mengumpul lapan pingat emas.

Setakat ini, antara pingat emas yang diraih atlet Sabah ialah dalam acara lompat bergalah bawah 18 tahun menerusi Samantha Mae Godfrey Binting dan lompat jauh perempuan bawah 15 tahun melalui Samantha Collette Valentine.

Turut cemerlang ialah L Dane Dave dalam acara 100m lelaki bawah 12 tahun serta acara lontar peluru lelaki bawah 15 tahun. Pengurus Kontinjen Sabah, Lazurus Lajiun berkata, setakat ini prestasi atlet dari negeri itu memberangsangkan walaupun ada beberapa acara sedikit terganggu susulan terdapat atlet yang cedera.

“Setakat ini, prestasi atlet kita membanggakan dan masih mendominasi dari carta kutipan pingat emas, namun ada segelintir atlet cedera dan tidak dapat beraksi seperti dirancangkan.

“Kita diberikan cabaran sengit oleh kontinjen Johor, namun berharap dapat terus mengutip beberapa lagi pingat emas pada hari berikutnya.

“Kami adalah juara bertahan dan berazam untuk terus mempertahankan kejuaraan tahun ini dan saya yakin atlet Sabah mampu memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Lazurus berkata, beliau masih mengharapkan Sabah dapat dinobatkan selaku juara keseluruhan kejohanan tahun ini.

Katanya, untuk edisi kali ini, Sabah mempertaruhkan 90 atlet membabitkan 47 lelaki dan 43 perempuan.

Untuk rekod, Kontinjen Sabah adalah juara keseluruhan kejohanan edisi tahun lalu selepas meraih 41 pingat iaitu 15 pingat emas, 16 perak dan 10 gangsa, manakala tempat kedua Kontinjen Johor dengan kutipan 34 pingat iaitu 15 pingat emas, sembilan perak dan 10 gangsa. – Info X