Search

Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional kukuh sistem penyampaian kerajaan

October 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional yang dilaksanakan kerajaan perlu dilihat sebagai satu agenda ke arah mengukuhkan lagi sistem penyampaian yang berkesan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata, langkah itu selaras dengan pengenalan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti yang akan diwujudkan kerajaan.

Katanya, akta itu yang bakal menjadi panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti dalam sektor awam atau swasta adalah satu penambahbaikan yang penting dalam pengukuhan jati diri.

“Penambahbaikan pelbagai aspek perundangan dan penguatkuasaan akan dapat mengukuhkan jati diri dan akhlak khususnya kepada penjawat awam dan seluruh warga negara.

“Seiring dengan peredaran zaman, tatakelola baharu pada era digital juga perlu diberi fokus di setiap peringkat pengurusan.

“Perkhidmatan awam harus terus bertransformasi daripada sistem tradisional kepada sistem tatakelola kerajaan secara digital yang dapat memenuhi keperluan mensejahterakan rakyat,” katanya ketika menyempurnakan Penutupan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023, di sini, hari ini.

Konvensyen anjuran Kerajaan Negeri Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bermula semalam itu dihadiri kira-kira 2,000 penjawat awam dari seluruh negara.

Safar berkata, setiap agensi perlu mempunyai persediaan cukup dan kukuh bagi menghadapi perubahan dan pelbagai cabaran ke arah merealisasikan sebuah kerajaan digital berintegriti sebagai teras perkhidmatan Madani.

“Pembanterasan rasuah dalam pembangunan Malaysia Madani perlu diperkasakan melalui peranan semua pihak terutama anggota perkhidmatan awam.

“Sebagai ejen kerajaan, kita harus memainkan peranan dengan mengamalkan toleransi sifar terhadap segala bentuk kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Setiap daripada kita (penjawat awam) mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan segala bentuk tawaran rasuah atau apa-apa aktiviti penyelewengan dana awam.

“Apa yang lebih penting ialah tanggunjawab kita dalam membudayakan etika dan nilai- nilai murni semasa menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Sementara itu, Safar berkata setiap penjawat awam perlu sedar hanya perkhidmatan awam yang berintegriti dapat meningkatkan keberhasilan dan pencapaian setiap aspirasi kerajaan sekali gus memenuhi keperluan serta kesejahteraan rakyat. – Info X