BONGAWAN: Parti Warisan (Warisan) menafikan kekuatan dan populariti parti itu merosot berikutan tindakan beberapa pemimpin utamanya keluar parti sebelum ini.
Naib Presiden Warisan, Dr Daud Yusof, sebaliknya berkata Warisan kini bertambah kukuh kerana dibarisi pemimpin sejati yang ikhlas berjuang untuk kepentingan rakyat dan hak Sabah.
“Kita sebenarnya lega kerana tindakan (keluar parti) beberapa pemimpin ini, Warisan kini telah ‘bersih’ tanpa perlu melakukan ‘pembersihan’ kerana yang penting bagi kami adalah perjuangan yang ikhlas.
“Ia sejajar dengan konsep ‘Malaysia Madani’ yang mengutamakan integriti dan keikhlasan membela rakyat,” katanya selepas menyempurnakan Penyerahan Sumbangan Dana Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Ketua Bahagian Kinabatangan yang juga Ketua Wira Warisan Pusat, Mohd Ismail Ayub yang meletak jawatan dan keluar parti, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan itu mendakwa pihak yang berdepan kemerosotan populariti dan kekuatan adalah kelompok parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dakwanya, ia dapat dilihat menerusi agihan lantikan jawatan di peringkat akar umbi yang tidak mencerminkan konsep sebenar perkongsian kuasa di antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah.
“Ketidakseimbangan ini tidak sepatutnya berlaku jika konsep perkongsian kuasa diamalkan secara telus, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya hingga menimbulkan rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi,” tegasnya.
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick dilaporkan meminta supaya situasi tidak seimbang dalam hal pelantikan ketua adat khususnya di kawasan yang tidak diwakili PH, diubah.
Ewon dilaporkan berkata, keadaan itu tidak mencerminkan perkongsian kuasa di antara GRS-PH yang dibentuk selepas kemelut politik yang berlaku di Sabah pada awal tahun ini.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan sedia ada yang memtadbir Sabah tidak mungkin dapat dikekalkan tanpa sokongan wakil rakyat PH ketika kemelut politik berkenaan.
ADUN Kadamaian itu juga menegaskan, beliau sendiri melaksanakan konsep perkongsian kuasa di kawasannya dengan mengagihkan lantikan ketua ada mengikut nisbah 60 peratus daripada UPKO dan PH, manakala selebihnya parti komponen GRS.
Ewon menegaskan, jika beliau boleh mengamalkan perkongsian kuasa di kawasannya, tiada sebab wakil rakyat lain tidak mampu melaksanakan konsep itu.- Info X