Search

Miliki cecair ketum, dua sepupu dipenjara 9 bulan

October 17, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas dua sepupu selepas mereka mengaku bersalah memiliki 1,080 mililiter cecair ketum mengandungi mitragynine, Mei lepas.

Tertuduh berusia 30 dan 34 tahun yang masing-masing tidak memiliki dokumen pengenalan diri membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh memiliki cecair ketum di dalam sebuah botol plastik lutsinar di bawah sebuah rumah di Jalan Tanjung Batu Tengah pada 4 Mei lepas kira-kira jam 1.30 petang.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 35 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua tertuduh diarah menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan pada 4 Mei lepas selepas diberkas sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Tawau dalam Ops Tapis. – Info X