KOTA KINABALU: Tiga pekerja cedera selepas terjatuh dari perancah besi ‘scaffolding’ pada ketinggian kira-kira lima meter dalam dalam kejadian di Pusat Perindustrian Sepanggar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, ketiga-tiga mangsa lelaki yang cedera kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kejadian berlaku apabila semua mangsa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan sebelum terjatuh dari perancah besi berkenaan.
“Semua mangsa yang mengalami kecederaan akibat kejadian segera dihantar ke hospital menaiki jentera ambulans serta kenderaan majikan sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada unsur bahaya lain di lokasi.
“Operasi keseluruhan yang dijalankan sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ditamatkan jam 11.46 pagi,” katanya. – Info X