PENAMPANG: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kes rusuhan sehingga menyebabkan seorang mangsa cedera di sebuah pusat hiburan di Jalan Kobusak, di sini, 8 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 44 tahun itu ditahan di sebuah kedai gunting rambut, di Plaza Kingfisher, Kota Kinabalu, kira-kira jam 5.06 petang, semalam.
Katanya, kesemua suspek yang juga warga tempatan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan lanjut mengikut 147 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, kesemua suspek boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
“Tangkapan berkenaan adalah bersabitkan satu laporan polis oleh seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang mengatakan dia dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali di pusat hiburan berkenaan.
“Akibat kejadian itu juga, mangsa mengalami kecederaan di bahagian hidung dan kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Sammy turut meminta saksi kejadian itu agar tampil memberikan maklumat kepada pihak polis.
Beliau juga menasihati orang ramai, khususnya di Penampang agar tidak terbabit dengan sebarang rusuhan atau gaduh gempar. – Info X