Search

Promosi judi haram, lebih 40 individu diberkas

October 20, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 40 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mempromosi aktiviti perjudian berjaya ditahan dalam serbuan terhadap empat premis di sekitar ibu negeri dan daerah Penampang serta Papar.

Semua individu berusia 18 hingga 30-an yang ditahan adalah membabitkan pemilik, pekerja serta penjaga premis kegiatan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan dilakukan terhadap empat premis iaitu dua di Penampang dan masing-masing satu di Papar dan Kota Kinabalu.

Katanya, siasatan mendapati, semua premis itu terbabit dalam aktiviti perjudian, Forex dan penipuan berkenaan penjualan barangan yang tidak wujud.

“Premis digunakan sebagai pusat panggilan atau ‘calling centre’ bukan saja untuk menawarkan pembelian barangan tidak wujud tetapi juga kegiatan mempromosi perjudian atas talian.

“Hasil serbuan juga mendapati, aktiviti perjudian ini menyasarkan pelanggan yang kebanyakannya berada di luar negara,” katanya.

Antara rampasan susulan penahanan lebih 40 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mempromosi aktiviti perjudian.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Jauteh berkata, semua individu yang ditahan hanya pekerja yang menjalankan kegiatan harian di premis berkenaan.

Manakala katanya, wang hasil transaksi kegiatan ini pula dimasukkan ke dalam akaun suspek utama.

“Setakat ini polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik sebenar akaun terlibat.

“Siasatan terperinci juga dijalankan berikutan suspek dikesan terlibat dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” tegasnya. – Info X