Search

Rumah, empat kenderaan musnah terbakar

October 22, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Sebuah rumah dan empat kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Bubul Laut, Jalan Airport, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.39 petang.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal sudah musnah sebanyak 90 peratus.

“Turut musnah dalam kebakaran itu adalah sebuah van dan tiga kereta yang parkir berhampiran rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Bubul Laut, Jalan Airport, Tawau. – Foto/Bomba

Menurutnya, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan berhampiran.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.12 malam.

“Kita akan membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa terbabit,” katanya. – Info X